Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan ekspres ini akan menawarkan satu trip sehala dari Seremban ke KL Sentral pada waktu pagi dan satu trip dari KL Sentral ke Seremban pada sebelah petang, dan hanya ditawarkan pada hari bekerja sahaja.

"Pada sebelah pagi, ia akan bermula di Seremban pukul 7.08 pagi, tiba di Nilai pada pukul 7.25 pagi, dan berhenti seminit untuk mengambil penumpang sebelum meneruskan perjalanan ke KL Sentral yang dijangka tiba pukul 8.19 pagi.

"Pada sebelah petang pula dari KL Sentral pukul 5.55 petang, tiba di Nilai pukul 6.50 petang dan dijangka tiba di stesen Seremban pada pukul 7.10 malam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat DUN Lobak, di sini hari ini.

Siew Fook berkata, buat masa ini tambang perjalanan yang dikenakan adalah sama dengan tambang biasa, iaitu dari Seremban ke KL Sentral RM8.70, Nilai ke KL Sentral RM7 dan Nilai ke Seremban RM3.60. - Bernama