Dalam kenyataan hari ini, menteri itu berkata, peningkatan mendadak eksport kepada RM96.4 bilion dan merekodkan lebihan perdagangan sebanyak RM16.3 bilion memberi isyarat bahawa sasaran kerajaan untuk mengembalikan semula ekonomi di landasan akan dapat dicapai.

"Apa yang menggalakkan adalah eksport komoditi utama kita terutamanya minyak sawit dan getah asli yang terjejas teruk oleh kejatuhan harga dan penurunan permintaan, mencatatkan peningkatan pada Oktober 2018 daripada bulan sebelumnya," katanya.

Menurut perangkaan perdagangan luar Malaysia dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia semalam, berdasarkan asas bulan ke bulan (m-o-m), eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit meningkat 10.8 peratus daripada RM5.6 bilion, manakala eksport getah asli mencatatkan pertumbuhan  2.7 peratus m-o-m daripada RM306.5 juta.

Bagaimanapun, Guan Eng mengingatkan berita baik dalam perdagangan itu perlu dihadapi dengan berhati-hati.

"(Ini adalah) kerana perdagangan dan ekonomi global masih lemah disebalik pengumuman penangguhan 90 hari perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China," katanya. - Bernama