Dalam satu kenyataan yang bertajuk "Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak (amp) Susulan Bagi Jun 2018" yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu berkata, perubahan bulanan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan kenaikan 0.5 peratus kepada 118.4 mata daripada 117.8 mata pada Mei 2018.

"Perubahan tahunan IP meningkat 0.3 peratus pada Jun 2018 berbanding negatif 0.7 peratus pada bulan sebelumnya," katanya.

IP disusun untuk memberikan hala tuju ekonomi untuk empat hingga enam bulan ke hadapan.

Penyumbang terhadap pertumbuhan IP adala kenaikan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (0.6 peratus), bilangan syarikat baru yang didaftar (0.5 peratus) dan jangkaan nilai jualan di sektor pembuatan (0.4 peratus).

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang menunjukkan prestasi ekonomi semasa, meningkat 1.2 peratus pada Jun 2018.

"Ia disumbang oleh peningkatan dalam dua komponen utama iaitu indeks kuantiti perdagangan runcit (0.9 peratus) dan nilai caruman benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (0.2 peratus).

"Perubahan tahunan IS meningkat 3.1 peratus pada bulan rujukan manakala Indeks Difusi bagi IP mencatat 42.9 peratus, yang lebih baik daripada 14.3 peratus yang dicatat pada bulan sebelumnya," kata jabatan tersebut.

Sementara itu, Indeks Difusi untuk ISkekal pada 66.7 peratus sejak bulan pertama 2018. - Bernama