Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ekonomi negara telah bertambah baik untuk beberapa ketika dan ini tidak berlaku semalaman.

Beliau membuat ulasan itu berikutan dakwaan oleh seorang blogger pembangkang yang menyatakan ekonomi Malaysia bertambah  baik dan Ringgit kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat disebabkan pengumuman Pakatan Harapan  mengenai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Salleh membidas  tanggapan itu sambil menyatakan "Sekali ini, ini adalah perbuatan yang tidak matang dan tidak bertanggungjawab oleh pembangkang semata-mata untuk mendapat pujian untuk diri sendiri.

"Tetapi kita tidak memerlukan pembohongan selanjutnya  oleh pihak-pihak  tidak bertanggungjawab. Kita perlu realistik dan tidak memberikan maklumat yang salah kepada rakyat," kata beliau menerusi catatannya dalam blog beliau: https://sskeruak.blogspot.my, semalam.

Beliau menarik perhatian bahawa ekonomi adalah isu global dan bukan hanya mengenai Malaysia.

"Di Timur Tengah pun, harga minyak petrol dinaikkan dan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dilaksanakan. Semua negara menangani isu ini dan tiada negara yang terkecuali," kata beliau. - Bernama