Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, berdasarkan siasatan awal terhadap tekong-tekong bot mendapati kesemua nelayan asing itu baru sehari memasuki perairan Terengganu dari Tok Bali, Kelantan. 

Menurut Rahim, kesemua bot yang ketika itu sedang menjalankan aktiviti menunda pukat ditahan oleh kapal APMM yang melakukan rondaan operasi antara pukul 12.30 hingga 1.20 petang. 

“Kita syaki pencerobohan haram ini didalangi oleh ejen warga tempatan yang ingin mengaut keuntungan hasil laut secara berlipat ganda dengan membawa masuk bot nelayan asing warga Vietnam yang disewa ke perairan negara. 

“Soal siasat terhadap tekong bot mendapati kesemua mereka datang dari perairan Tok Bali dan menuju ke Terengganu berikutan musim sotong telah bermula. Setelah diperiksa, kita dapati mereka turut memalsukan dokumen dan menggunakan nombor pendaftaran Malaysia bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM, Pulau Kambing di sini hari ini. 

Tambah beliau, pihaknya menahan seramai 16 awak-awak termasuk tekong bot yang berusia lingkungan 19 hingga 58 tahun kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. - K! ONLINE