Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berusia 26 tahun itu malah mencederakan lengannya sendiri dengan pisau kononnya akibat diserang penyamun terbabit.

"Dia menerima 25 jahitan akibat kecederaan itu. Bagaimanapun polis menahannya pada pukul 3.15 petang di kediamannya di Kampung Lagenda Selasa lalu selepas mendapati keterangan dan laporan dibuatnya meragukan.

"Hasil penahannya polis menemui semula wang RM100,000 yang didakwa disamun itu disembunyikan di kawasan semak berhampiran Sungai Pinggiran di Senawang," katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, lelaki itu membuat laporan polis palsu awal pagi Selasa lalu mendakwa dia disamun semasa dalam perjalanan membawa wang tersebut ke Lukut kira-kira pukul 7.15 petang pada 22 Julai lalu.

Menurut beliau, ejen bitcoin itu mendakwa disamun dua lelaki bermotosikal yang mencederakannya dan melarikan wang tunai RM100,000, dokumen pengenalan diri serta telefon bimbit miliknya.

Jelas beliau, siasatan polis bagaimanapun mendapati lelaki itu mengeluarkan wang pelanggannya sebanyak RM100,000 tersebut dari bank bagi membayar hutang peribadinya.

"Dia ditahan reman selama enam hari bermula semalam sehingga 29 Julai ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya. - K! ONLINE