Pengurus Sumber Manusia Malaysia Rail Link (MRL) Razi Imran Md Rashid berkata peluang pekerjaan itu akan dibuka secara berperingkat dan bergantung kepada tenaga kerja yang yang diperlukan dalam pelaksanaan projek ECRL berkenaan.

"Setakat ini, ECRL telah mengambil 600 siswazah yang telah menamatkan pengajian merangkumi empat peringkat pengambilan.

"Dua peringkat yang dijalankan membuka peluang kepada pemohon yang memiliki kelayakan diploma dan ijazah manakala dua peringkat lagi adalah kepada pemohon yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia," katanya kepada pemberita pada Karnival Kerjaya Dari Universiti ke Industri di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UMP Professor Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Pengarah Operasi BASF Petronas  Chemicals Dr Jan Peter Bredehoeft.

Program dua hari itu yang bermula hari ini disertai oleh 40  syarikat yang menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang ditawarkan oleh UMP.

Selain MRL, turut mengambil bahagian ialah Panasonic, Sunway Integrated Propeties dan Mercedes-Benz Malaysia.

Karniva tahunan UMP itu diadakan sebagai medium kepada para pelajar universiti berkenaan untuk mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian. - Bernama