Pemiliknya, Shahmi Azani Mohd. Tanazi, 26, berkata, jualan bersistem kupon itu membolehkan pelanggan-pelanggan mengisi buah durian sebanyak yang mungkin di dalam plastik berkenaan.

Katanya, kebiasaan satu plastik itu boleh memuatkan lima hingga lapan biji buah durian dan sangat berbaloi kerana perlu membayar RM10 sahaja.

“Kita juga memberi peluang pelanggan memilih sendiri durian yang diletakkan di dalam 15 bakul. Hari ini saya menyediakan sebanyak 100 kupon berdasarkan bekalan buah durian.

“Sistem kupon ini dibuat bagi memastikan jualan berjalan lancar serta mengelakkan mereka berebut. Saya mengutamakan golongan warga emas, wanita mengandung dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan kupon itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, antara buah durian lain yang dijual adalah jenis D24, IOI D2, D13, Udang Merah , D88, Kampung , Cikgu dan Holo pada harga yang ditetapkan masing-masing.

Menurut Shahmi, dia membekalkan pelbagai jenis buah durian lebih 20 tan sehari dengan bekalan diperoleh dari Johor, Pahang, Kedah Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Kami menjual durian harga dari RM3 hingga RM15 sekilogram,  ini merupakan harga yang sangat murah untuk orang ramai dan sekarang ada bekalan yang banyak, jadi kami mengekalkannya," ujarnya yang lebih 11 tahun bekerja sebagai penjual durian. - K! ONLINE