Halimah memberitahu, ini berikutan DUN tersebut masih berada di tahap tidak memuaskan berhubung masalah sampah, kesesakan, gejala sosial serta fasiliti di rumah pangsa. 

"Isu-isu ini amat dekat di hati saya apabila pernah membangkitkannya di dalam kerajaan negeri Selangor berhubung pemasalahan di Pangsapuri Perantau Selat Klang yang merupakan paling teruk di negeri ini (sewaktu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang) sebelum ini. 

"Namun, apabila saya melakukan tinjauan di DUN Seri Setia mendapati rupa-rupanya lebih teruk di situ," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan Pas Selangor di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pemasalahan yang telah berlarutan sejak sekian lama itu menjadi fokus utamanya sejak dipilih menjadi calon Pas dan berharap diterima oleh pengundi DUN tersebut sebagai wakil mereka nanti. 

Dalam perkembangan berlainan, Halimah menjelaskan pelancaran logo Pas untuk semua di DUN berkenaan sebagai salah satu yang diperjuangkan dalam menjaga kebajikan para penduduk di Seri Setia. 

"Kita perlu semak imbang yang efektif kepada keputusan dasar kerajaan bagi memberikan keadilan kepada rakyat Selangor. 

"Memang pihak lawan menyatakan kemenangan DUN itu hanya menambahkan blok pembangkang kepada enam sahaja dan tidak kuat. Namun setiap satu suara pembangkang ada impaknya bagi mengangkat suara rakyat dalam isu-isu tertentu," katanya. - K! ONLINE