Sedap bunyinya! Apabila sudah beranak pinak baru nak bercerai, molek juga berpisah sebelum dapat anak. Senang, tak menyusahkan banyak pihak.
Cakap memang senang, tetapi kalau kena atas batu jemala sendiri, tahulah bagaimana rasanya! Namun, kata-kata begitu yang selalu disebut apabila berlakunya putus cinta, tunang atau perceraian.
Adat mulut, kalau tak bercakap tidak sah sifatnya.
Sama dengan putus cinta, terlerainya ikatan pertunangan atau perkahwinan boleh terjadi kepada sesiapa. Cuma apabila melibatkan nama popular, ia meledak kuat sampai jadi muka depan akhbar.
Jadi, kepada peminat dan juga bekas pasangan yang baru putus tunang, pelakon Elfira Loy dan penyanyi Sufian Suhaimi, bertabahlah dengan perhatian khalayak.
Rasanya, tunggulah sehingga dua tiga minggu lagi, orang akan melupakan kisah putus cinta mereka sebagaimana telah banyak kisah perpisahan artis terdahulu berlalu daripada fikiran ramai.
Sengaja mahu fokus kepada pertunangan, pasangan popular sekitar tahun 1990-an, Awie dan Erra pernah mengalami episod putus tunang pada 1996.
Barangkali, itu kisah sensasi perpisahan pasangan artis paling epik dalam kalangan peminat dan menjadi kontroversi hangat sekitar hujung 1998. Bahkan, cinta tidak kesampaian mereka masih disebut-sebut sehingga ke hari ini.
Ibarat kata pepatah, harapkan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Harapkan kasih sampai ke mati, namun rupa-rupanya bukan rezeki. Kalau hendak dikutip, sebenarnya banyak contoh kisah putus tunang yang boleh diambil.
Pertunangan antara aktres yang juga peragawati popular, Nasha Aziz dengan Pengarah Fotografi, Helmi Mohd. Yusof, antara yang mendapat perhatian. Hubungan mereka tidak mampu diselamatkan, bertunang pada 4 Jun 2006 dan putus pada Januari 2008.
Kisah cinta separuh jalan juga terjadi kepada penyanyi Siti Sarah Raisuddin dan pelumba motosikal kelahiran New Zealand, Muhamad Harith Fuad Robinson.
Bercinta berapi-api, namun hubungan mereka hanya bertahan selama setahun tiga bulan apabila putus pada April 2008.
Bukan pasangan muda sahaja, Datuk Hans Isaac dan Gabrielle Robinson juga melalui detik hitam bersama.
Mereka bertunang pada 29 Januari 2017 di Singapura dan sepatutnya berkahwin pada 29 Julai tahun sama, namun, selepas ditunda atas sebab yang tidak begitu dijelaskan, Hans mengumumkan pembatalan perkahwinan mereka Oktober 2017.
Sekejap jadi, kemudian tak jadi, itulah corak cinta tunang artis.
Jadi, apalah sangat yang hendak dihairankan dengan episod putus tunang antara Elfira Loy dan Sufian Suhaimi.
Kalau Erra dan Awie boleh berlakon sama dan mesra setelah sekian banyak tahun melewati hidup dengan hala masing-masing, Sufian dan Elfira kenapa tidak? Putus tunang, bukanlah bermakna putus segala hubungan dunia, jauh sekali putus nyawa.
Pertunangan adalah selangkah persediaan ke arah perkahwinan yang dunianya tidak boleh hanya dihitung menerusi kebahagiaan atau penderitaan orang lain.
Sudah banyak orang bercakap, nak kahwin kena ada persediaan, mental dan kewangan yang kukuh.
Namun, paling penting daripada semua itu adalah toleransi untuk mencatu hati.
Persepsi aku dengan caraku, kau dan aku berbeza patut ditanam dalam-dalam. Pilihan untuk hidup bersama adalah pilihan pasangan itu sendiri, jadi alasan-alasan lain hanyalah faktor sampingan.
Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih.
Di hujungnya, percaya kepada qada dan qadar, itu salah satu daripada Rukun Iman yang telah menjelaskan, betapa manusia hanya mampu merancang serta ketentuan Tuhan sudah tersusun.
Kalau sudah bukan jodoh, tiada cara lagi untuk diperbaiki,tiada kerumitan yang membawa lebih banyak bahana berbanding kebaikan, lepaskan.
Semua pihak harus terima, kalau pun ada alasan yang dirasakan tidak logik, tiada jaminan hidup mewah lepas kahwin atau terkesan kisah cinta terdahulu, itu hanya alasan untuk tidak merealisasikan apa yang bukan seharusnya milik seseorang itu menjadi miliknya.
Kifarah atau takdir, tetap ada hikmahnya. Apa yang berlaku dalam tempoh bertunang cumalah sebesar hama daripada dunia perkahwinan sebenar, percayalah.
Dugaan putus tunang bukan putus nyawa
26 Februari 2018 1:06 AM
SETAKAT kecewa akibat cinta itu perkara biasa. Ada juga yang kata, daripada berkahwin pun entah ke mana, bagus juga awal-awal lagi putus tunang.