Kedua-dua suspek berusia 31 dan 34 itu diberkas pukul 4 petang menerusi Ops Lejang.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha LC 135 itu dicuri oleh salah seorang suspek di belakang Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sungai Besar pukul 11.05 pagi. 

Katanya, suspek itu kemudiannya mengambil rakannya di Tanjong Karang sebelum ke sebuah bengkel motosikal. 

Jarak antara lokasi motosikal dicuri dan dijumpai adalah kira-kira 36 kilometer.

"Kita tidak menolak motosikal berharga RM5,500 itu cuba dileraikan komponennya oleh kedua-dua suspek. 

"Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelas beliau, hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.

"Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya. 

Terdahulu, gambar suspek berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah premis perniagaan berhampiran selepas melakukan jenayah tersebut. - K! ONLINE