Yahya Daud, 50, dikatakan langsung tidak menghubungi ahli keluarganya sebaik terbang sejauh 4,626 kilometer ke negara K-Pop itu pada 21 Disember tahun lalu.

Ibunya, Habsah Darus, 76, dari Kampung Titi Mentaling, Parit Panjang di sini berkata, dia bimbang mengenai keselamatan anaknya yang pergi ke negara berkenaan bersama beberapa rakan atas alasan ingin bekerja.

Katanya, kali terakhir Yahya menghubunginya ialah sebaik tiba di Seoul dan berpesan supaya ja­ngan risau dan memintanya berdoa supaya dia selamat di sana.

“Selepas itu dia langsung tidak menghubungi saya atau menghantar mesej kepada sesiapa pun. Semua orang sedang risau termasuk lima anaknya berusia antara enam hingga 20 tahun yang kini tinggal bersama bekas isterinya.

“Bapanya, Daud Salleh, 88, yang semakin uzur juga sering bertanya tentang Yahya kerana terlalu me­rinduinya,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih di Kampung Lanai di sini semalam.

Tambahnya, Yahya pernah be­kerja di Australia selama enam bulan secara kontrak sebelum pulang ke kampung.

Menurut Habsah, ketika di Australia, Yahya kerap menghubungi kakaknya, Yasmin, 57, untuk bertanya khabar namun kali ini tiada langsung khabar berita daripada anak keempat daripada lapan beradik itu.

Sehubungan itu, dia merayu kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang Yahya agar menghubunginya di talian ­011-1455 8446 atau 019-458 7727.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ba­ling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, dia akan cuba bantu menjejak dan mengesan Yahya.

“Buat masa ini, saya perlukan sedikit masa untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai perkara ini,” katanya.