Kedua-dua tertuduh, Chaudhary Satya Narayan, 30, dan Das Kanhaiya Lal, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Hindi di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama memberi wang tunai sebanyak RM150 kepada Lans Koperal Mohd. Fitri Lasim yang bertugas di Balai Polis Pekan Baru di sini.

Perbuatan tersebut dilakukan sebagai dorangan untuk Mohd. Fitri supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka atas kesalahan tiada lesen memandu kelas B2 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 4.55 petang di persimpangan lampu isyarat simpang tiga antara Jalan Dato' Onn Jaafar dan Jalan Sultan Idris Shah di sini pada 9 Julai lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - K! ONLINE