Nasir Abas, 64, dan rakannya, A. Krishnan, 61, memulakan larian dari Dataran Medan Bandar Alor Setar di sini kira-kira pukul 8.45 pagi tadi dan dijangka tiba di Dataran SACC Mall di Shah Alam pada malam ambang merdeka.

Larian sejauh kira-kira 540 kilometer (km) itu dilepaskan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Seni Budaya dan Usahawan negeri, Mohd. Asmirul Anuar Aris.

Menurut Nasir, ia merupakan larian merdeka kali ketiga yang dilakukan bersama Krishnan secara berturut-turut sejak tahun 2017.

"Bagi rekod peribadi pula, larian merdeka kali ini adalah kali keempat yang dilakukan saya secara berturut-turut," katanya ketika ditemui di Dataran Medan Bandar Alor Setar di sini hari ini.

Beliau yang juga Imam Surau Al-Hijrah di Kuala Kedah di sini berkata, sepanjang larian mereka akan membawa bersama Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini.

"Saya dan Krishnan mahu memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat negara ini yang berbilang kaum, agama, bangsa dan fahaman politik," ujarnya yang merupakan datuk kepada 10 orang cucu.

Katanya, mereka akan berlari sejauh kira-kira 45 kilometer (km) sehari dalam masa 12 hari dan akan berhenti di 12 lokasi yang telah ditetapkan.

"Apa yang berbeza pada larian kali ini adalah kami memohon pengiktirafan rekod larian warga emas dengan jarak paling jauh iaitu minimum 500 km daripada Malaysia Book of Records (MBOR)," jelasnya.

Tambahnya, latihan untuk mengekalkan staminanya adalah dengan berjoging setiap hari sejauh 10 km dan meningkatkan jarak larian kepada 20 km sejak Mei lalu.

Sementara itu, Krishnan pula berkata, dia melakukan larian sejauh 15 km pada waktu pagi dan 10 km pada sebelah petang sejak Januari lalu.

"Walaupun usia kami sudah lebih 60 tahun tetapi kami tetap bersemangat untuk meneruskan larian ini bagi menunjukkan rasa cinta kepada negara selain untuk menyemai semangat muhibah antara kaum," katanya. - K! ONLINE