Mangsa, K. Guganeswaran, 23, dan V. Vikneshawaran, 20, ditemui pada pukul 7.30 malam oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pada pukul 4 petang itu, kedua-dua mangsa dilihat mandi di sebuah lubuk sebelum mereka berdua menjerit meminta tolong dan sebelum tenggelam.

Salah seorang ahli keluarga bertindak berjalan keluar dari kawasan tersebut sejauh empat kilometer bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4.36 petang sebelum 18 anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati mereka berdua masih belum ditemui sebelum pencarian dilakukan di kawasan mereka berdua mandi.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman kira-kira 10 minit di dasar air akhirnya menjumpai mereka berdua yang berada pada kedalaman dua meter di bawah paras air,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Sharudi, pihaknya menghadapi kesukaran untuk membawa keluar kedua-dua mangsa berikutan lokasi air terjun tersebut yang curam dan memerlukan pendakian.

“Anggota mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mangsa dari kawasan air terjun sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.05 tengah malam. - K! ONLINE