Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, mangsa Mohd. Iqhram Robert, 18, dan Mohd. Razmin Kadariah, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi.

Sementara, pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner, Muhammad Firdaus dan penumpang Nur Mohammad Nazdrul Nizam masing-masing berusia 18 tahun cedera parah manakala Muhd. Hamirzan Maksud,18, dan Muhammad Ilyas Herman,18, pula hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Peter Umbuas berkata, kemalangan tersebut adalah membabitkan Toyota Fortuner dipandu seorang pelajar lelaki yang turut dinaiki lima rakannya.

"Difahamkan, kenderaan enam sahabat itu dalam perjalanan dari arah pekan Semporna menuju ke daerah Tawau.

“Sebaik tiba di satu selekoh, pacuan empat roda itu dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang jalan," katanya hari ini.

Tambah Peter, susulan kemalangan itu kenderaan berkenaan turut terjunam ke sungai sedalam 10 meter di kawasan terbabit.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Semporna dekat sini untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE