Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, sebuah rumah jenis dua tingkat terbakar sebelum ia memusnahkan rumah di kawasan berdekatan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, lima mangsa berusia antara 28 hingga 57 tahun dilaporkan selamat.

"Kejadian kebakaran disedari seorang penghuni yang melihat bahagian siling kediamannya terbakar.

"Mangsa telah memaklumkan perkara berkenaan. Kebakaran tidak dapat dikawal dan merebak ke kawasan rumah berdekatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ladamah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah terlibat di dalam kejadian kebakaran itu.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dalam kenyataan berkata, operasi diketuai Ketua Operasi, Janil Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 19 anggota bomba.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.18 tengah hari. - K! ONLINE