Kejadian air bah yang berpunca daripada hujan lebat selama 20 minit pada pukul 10 malam semalam hanya disedari mereka sekeluarga selepas bangun daripada tidur pagi tadi.

Salah seorang mangsa terlibat, Roslee Mustafa, 37, berkata, dia dan keluarga hanya menyedari rumah mereka dinaiki banjir kilat ketika bangun daripada tidur pada pukul 4 pagi.

"Kami sekeluarga masuk tidur pada pukul 10 malam tadi (kelmarin) sewaktu hujan lebat baru hendak turun. Terkejut apabila mendapati bahagian dapur kami dipenuhi air banjir sewaktu hendak menyiapkan keperluan persekolahan anak," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Roslee yang merupakan seorang petani berkata, banjir kilat yang pertama kali berlaku sejak mereka menetap di rumah tersebut lebih 10 tahun lalu tersebut turut melibatkan rumah jirannya bersebelahan.

Dia mendakwa banjir kilat yang melanda rumahnya dan jiran itu berpunca daripada kerja-kerja melebar dan meninggikan tali air di belakang rumah mereka yang telah bermula baru-baru ini. - K! ONLINE