Ketua Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Azizan Abdullah berkata pemeriksaan terhadap dua premis tersebut dilakukan oleh tujuh penguat kuasanya bersama enam pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

"Berikutan itu, tindakan telah diambil di mana pihak kami menyita logo halal tersebut untuk siasatan lanjut mengikut Perintah 4(1)(a), Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya dalam kenyataan media di sini.

Beliau berkata individu yang didapati bersalah menggunakan logo halal tanpa kebenaran boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala denda RM250,000 bagi pertubuhan.

"Penggunaan sijil halal JAKIM tanpa kebenaran, bukan hanya salah disisi undang-undang malah mengelirukan pengguna yang berkunjung ke premis berkenaan," katanya. - Bernama