Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang itu, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi Muhammad Nor Eyizhar Mohd. Shukri, 16, dan rakannya, Muhammad Amirul Nabil Sidek, 15, merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang terbabas.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitenden Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua remaja itu dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Kampung Dendang dekat sini setelah membuat salinan Mykad Muhammad Nor Eyizhar di sebuah kedai di Bukit Besi dekat sini.

Beliau berkata, Muhammad Nor Eyizhar yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Integrasi Kuantan, Pahang difahamkan membuat salinan Mykad itu untuk bertukar ke sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah di sini.

"Sewaktu kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 40-an telah hilang kawalan ketika melalui selekoh berikutan jalan licin akibat hujan.

"Kenderaan itu telah melanggar besi penghalang jalan sebelum berpusing memasuki laluannya semula hingga menyebabkan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa yang berada di belakangnya tidak dapat mengelak lalu merempuh Toyota Hilux terbabit," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Baharudin berkata, impak rempuhan itu menyebabkan Muhammad Nor Eyizhar tercampak beberapa meter ke tengah jalan manakala Muhammad Amirul Nabil pula melambung memasuki kawasan semak berhampiran. - K! ONLINE