Dalam kejadian kira-kira pada pukul 4.30 petang itu, mangsa, C. Adwin Chandran dan pembonceng, Muhammad Nabil Ikhwan Ibrahim, masing-masing berusia 17 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Zakaria Abd. Rahman berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua rakan itu sedang dalam perjalanan dari arah Gopeng menuju ke Batu Gajah.

“Tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Harley Davidson ditunggang mereka melanggar belakang sebuah kereta jenis Perodua Myvi dinaiki tiga individu sebelum motosikal mereka hilang kawalan dan terbabas.

“Motosikal mereka turut melanggar pokok hiasan yang terdapat di pembahagi jalan dan kemalangan tersebut menyebabkan kedua-dua mereka tercampak di atas jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Zakaria, akibat kemalangan tersebut, mereka berdua mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat.

“Tiga individu yang berada di dalam Perodua Myvi pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, tiada tangkapan dilakukan namun pihaknya telah mengambil sampel darah Adwin Chandran dan lelaki yang memandu Perodua Myvi berusia 61 tahun mengesan sama ada terdapat kandungan alkohol atau dadah dalam badan mereka.

"Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - K! ONLINE