Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Ong Cheng Yaw, 33, dan San Kim Huat, 38, selepas mendapati kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya tanpa sebarang keraguan munasabah bagi keempat-empat pertuduhan terhadap Cheng Yaw seorang jurujual, dan San, deejay kelab malam.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, Cheng Yaw dan Kim Huat didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 95.016kg, methylenedioxymethamphetamine (MDMA-ekstasi) seberat 26.791kg dan ketamine seberat 1.245kg.

Cheng Yaw dan Kim Huat, yang diwakili peguam, Datuk Hariharan Tara Singh, dituduh melakukan semua perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Denai Selatan, Desa Park City, Kepong di sini pada 6.25 petang, 12 Mei 2015 mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zalina [email protected]

Seramai 11 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 21 Februari 2017. - Bernama