Dua sahabat itu, Iswadi Mohamad, 38, dari Kelantan dan Shalul Abdul Aziz, 38, dari Kedah merupakan kakitangan sebuah syarikat penerbangan antarabangsa kini menetap di Doha sejak tiga tahun lalu.

Menurut Iswadi, pada hari raya lepas dia dan Shalul amat rindukan juadah dari Malaysia terutama keenakan lemang sehingga timbul idea untuk memasak juadah itu.

“Namun di Doha kami susah untuk mendapatkan buluh. Malah untuk bertemu buluh juga adalah agak mustahil di sini.

“Resepi ini sama dengan lemang menggunakan buluh cuma bezanya buluh itu diganti dengan tin minuman. Bahan-bahannya ialah beras pulut, santan, garam dan gula,” ujarnya sewaktu dihubungi melalui aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Iswadi berkata, cuma daun pisang dia akan bawa dari Malaysia atau dikirim kepada rakan atau saudara mara yang berkunjung ke Doha.

“Pulut ini kemudian akan dimasukkan ke dalam ketuhar pada suhu 350 darjah Celsius selama 2 jam 30 minit.

“Rasanya sedikit berbeza dengan lemang dimasak dengan buluh namun tetap enak dimakan bersama kari ayam dan rendang,” katanya.

Tambahnya, dia bersama rakan karibnya itu akan menyambut Hari Raya Aidiladha nanti di Doha jadi mereka akan menggunakan kaedah itu untuk menyediakan lemang dan menjamu bersama orang ramai. - K! ONLINE