Dalam serbuan pertama pada pukul 2 pagi, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di sebuah kedai makan di Kedai Lalat.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pemeriksaan pada badan suspek menemui sepucuk pistol tiruan yang terselit pada pinggang.

"Suspek mendakwa pistol itu dibeli di negara jiran dengan harga RM800 untuk tujuan tertentu.

"Kita turut merampas serangkai kunci kereta jenis Perodua Viva serta pemeriksaan lanjut menemui 32 bebola bearing," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga merampas sepasang gari dan rompi (vest) berlambang polis dalam sebuah kereta Perodua Viva.

“Soal siasat terhadap suspek pertama itu membawa kepada penahanan seorang lagi suspek yang juga rakannya berusia 46 tahun di Kampung Padang Bemban, di sini pada pukul  2.30 pagi.

“Pemeriksaan dalam rumah  menemui sepucuk pistol dan pemeriksaan lanjut dalam stor berhampiran menemui selaras senapang angin buatan sendiri dan sejumlah bebola guli, " katanya.

Katanya, kedua-dua suspek memberi alasan senjata yang ditemui adalah untuk kegunaan sendiri selain digunakan untuk menembak tupai.

“Dalam dua serbuan itu kita merampas sebanyak 32 biji bebola bearing dan 103 biji guli yang digunakan mereka sebagai ‘peluru’ senjata berkenaan.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” tambahnya. - K! ONLINE