Penerbangan itu menyelamatkan seorang ibu, Shela Omar, 31, yang akan bersalin dari Kampung Penad, Pos Simpor.

Manakala, seorang lagi kanak-kanak lelaki, Zohdi Baida yang berusia enam tahun yang mengalami demam panas, cirit-birit dan batuk sejak lima hari lalu.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, penerbangan menyelamatkan pesakit itu menggunakan helikopter Agusta Westland 139.

Katanya, pihaknya berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 11.04 pagi.

“Pihak kami mengambil tindakan segera dengan melakukan penerbangan Medevac untuk membantu penduduk Orang Asli selepas menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Anggota kami berjaya tiba di Pos Simpor pada pukul 12.15 tengah hari dan berjaya mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 12.50 tengah hari bersama pesakit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Farhan, penerbangan itu dilakukan berikutan jarak penempatan jauh selama empat jam menggunakan jalan perhubungan darat.

Katanya, penerbangan itu diketuai juruterbang, Penguasa Kanan Bomba 1, Faizal Izani Azizan dan dibantu Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Zukhairee Zabidi bersama tiga lagi anggota.

Sementara itu, suami Shela, David Kuasan, 37, ketika ditemui bersyukur apabila isterinya sempat dibawa ke hospital untuk bersalin.

Katanya, isterinya sudah menunjukkan tanda-tanda ingin bersalin sejak tiga hari lalu.

“Ketiadaan talian komunikasi di kawasan penempatan kami menyebabkan usaha untuk menghubungi pihak Jakoa bagi mendapatkan bantuan pengangkutan agak lambat,” katanya. - K! ONLINE