Dua suspek berusia 27 dan 37 tahun itu ditahan pukul 11.05 pagi pada 6 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, penangkapan kedua-dua penjenayah yang juga adik-beradik itu hasil maklumat daripada seorang cucu penghuni rumah berkenaan.

Katanya, pengadu berasa curiga apabila rumah tersebut didiami oleh individu yang tidak dikenalinya.

"Sepasukan anggota polis kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian sebelum berjaya menahan kedua-dua suspek yang ketika itu sedang berehat di rumah berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati dua penjenayah tersebut berasal dari Sekinchan dan telah menumpang di rumah tersebut selama tiga hari," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, menerusi serbuan itu juga pihaknya berjaya merampas 20 barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka di rumah berkenaan.

Ujarnya, ini termasuk beberapa utas rantai tangan, jam tangan pelbagai jenama, pembesar suara, dua telefon bimbit, monopod, e-kamus dan bekalan kuasa mudah alih.

"Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga esok dengan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya. - K! ONLINE