Ketua Penguatkuasa KPDNKK negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata, peniaga terbabit telah diberikan notis untuk menurunkan harga di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat harga barangan yang dijual termasuk siasatan ke atas stok  barangan daripada dua peniaga berkenaan.

"Kegagalan peniaga menurunkan harga barangan selepas GST enam peratus kepada sifar peratus pada 1 Jun boleh dikenakan kompaun RM50,000 dan denda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara  tidak lebih tiga tahun.

"Syarikat pula boleh dikompaun sehingga RM250,000 dan denda oleh mahkamah sehingga RM500,000," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Raya Puasa 2018 di pasar besar Kuala Kangsar di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kuala Kangsar Abdul Munir Ishak.

Shamsul Nizam berkata, sejak 1 Jun lepas, pihaknya telah memeriksa 1,870 premis membabitkan lebih 21,000 jenis barangan yang berdaftar dengan GST.

Beliau berkata, majoriti peniaga telah menukar tanda harga barangan masing-masing kepada sifar peratus. 

Mengenai pelaksanaan SKHMP bagi 19 jenis barangan sejak 8 Jun hingga semalam, pihaknya telah  memeriksa 839 premis perniagaan di negeri ini.
"Seorang peniaga di Parit Buntar dikenakan kompaun RM100 kerana tidak meletakkan tanda harga merah jambu pada barangan perniagaannya," katanya.

Shamsul Nizam berkata, kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan  harga terkawal boleh dikompaun RM5,000 dan denda di mahkamah sehingga RM10,000 bagi individu manakala  syarikat pula boleh dikompaun RM10,000 dan denda di mahkamah sehingga RM20,000. - Bernama