Tertuduh, Fabian Dang Wen Min, 51, dan Choo Chee Seng, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim S. Indra Nehru. 

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa memberi suapan kepada ejen kerajaan iaitu Penolong Penguasa Imigresen, Jabatan Imigresen Perak, Abdul Majid Mohamed di Restoran Pizza Hut, Jalan Meru Bestari B2, Meru Bestari di sini pada pukul 3.56 petang 13 Oktober 2017.

Wang tersebut diberikan sebagai dorongan dorongan kepada Abdul Majid agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Chee Seng iaitu pemilik kopitiam di Pekan Menglembu atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji empat pekerja warga asing dari Bangladesh yang tidak mempunyai permit pekerjaan.

Kedua-dua tertuduh didakawa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala Wen Min dan Chee Seng masing-masing diwakili peguam, Shahidah Muslimah dan Mohd. Khairul Fairuz Rahman.

Nurul Wahidah menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 bagi setiap tertuduh namun peguam yang mewakili mereka memohon agar jaminan tersebut dikurangkan kepada RM5,000.

Hakim S. Indra Nehru kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas setiap tertuduh dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - K! ONLINE