Tertuduh pertama, Tay Chia Hao, 22, didakwa atas kesalahan membantu kegiatan pemberi pinjam wang tidak berlesen yang sah dengan mengutip wang bagi syarikat pemberi pinjaman wang tidak berlesen. 

Dia yang menghadapi tuduhan dibawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen didakwa melakukan perbuatan itu pada 5 Julai 2019, kira-kira pukul 12 tengah hari di tempat letak kereta bangunan Akhma, Seremban 2 dekat sini.

Rakannya, Koo Wee Seng, 26, dituduh dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana didakwa mencuri kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux milik peminjam di lokasi dan masa yang sama. 

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak salah di hadapan Majistret V. Vanita selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa mahkamah. 

Jika sabit kesalahan, Chia Hao boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM200,000 atau kedua-duanya, manakala Wee Seng boleh dipenjara minimum satu tahun dan maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda. 

Mahkamah membenarkan Chia Hao dan Wee Seng masing-masing diikat jamin RM6,000 dan RM4,000 dengan seorang penjamin dan tarikh 31 Julai ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mas Syafiqah Mahroob, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Noor Azizi Abdull Aziz.

Kosmo! difahamkan kedua-dua tertuduh membayar ikat jamin tersebut hari ini. - K! ONLINE