Kedua-dua suspek lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Dua anggota penguat kuasa terbabit kemudian dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar pada hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Noor Lyana Ab. Rahim membenarkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Menurut sumber, dua anggota penguat kuasa itu didakwa meminta dan menerima rasuah antara RM200 hingga RM2,000 daripada nelayan dan pemilik bot sebagai balasan supaya tidak diambil tindakan kerana melanggar kesalahan di bawah Akta Perikanan.

Kesalahan yang dilakukan nelayan antaranya menceroboh kawasan penangkapan ikan.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua anggota penguat kuasa berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - K! ONLINE