Kejadian berlaku pukul 1 petang itu dipercayai dilakukan oleh suspek warga tempatan. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku apabila seorang jururawat selepas meletakkan alat pengecas bateri tambahan atau power bank dan alatan klinik di atas meja saringan sebelum pergi ke bilik lain. 

"Sebaik jururawat itu berpatah balik ke bilik saringan, disedari tiga mesin pemeriksaan gula dan satu mesin pemeriksaan oksigen telah dicuri dua individu. 

"Kedua-dua suspek yang menaiki kereta jenis Nissan Almera berwarna putih juga telah bertindak melanggar beberapa kenderaan dan palang kawalan keselamatan klinik tersebut," katanya pada Kosmo! Online ketika dihubungi di sini hari ini. 

Jelas Shamsul Amar, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenalpasti suspek terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Kejadian tersebut tular di laman sosial dengan dikatakan dua lelaki bersenjatakan parang dan pisau itu merompak di klinik kesihatan itu. - K! ONLINE