Dalam kejadian pukul 3.50 petang, kedua-dua yang ditahan berusia 15 dan 23 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd. Khairi Shafie berkata, penangkapan mereka dilakukan oleh dua anggota polis semasa rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan tersebut.

Katanya, suspek pertama yang merupakan seorang pengawal keselamatan diberkas selepas menunggang motosikal curi jenis Honda EX5.

"Seorang lagi suspek berjaya ditahan di hadapan sebuah rumah di kawasan sama.

"Hasil penangkapan mereka telah membawa penemuan kerangka sebuah motosikal curi yang disembunyikan di dalam longkang di taman yang sama," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Beliau menambah, siasatan awal mendapati dua penjenayah ini menyasarkan motosikal jenis Yamaha Lagenda dan Honda EX5 dengan komponen motosikal akan dileraikan sebelum dijual di pasaran gelap.

Mohd. Khairi menjelaskan, siasatan kini masih diteruskan bagi mengetahui jumlah motosikal telah dicuri dan penglibatan suspek lain dalam kes tersebut.

"Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula semalam dengan kes disiasat mengikut 379A Kanun Keseksaan," katanya. - K! ONLINE