Sebelum kejadian pada pukul 9 pagi itu, sepasukan anggota polis yang sedang mengadakan rondaan terserempak dengan kedua-dua suspek berusia 33 dan 49 tahun dalam keadaan mencurigakan di pekarangan sebuah rumah di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, salah seorang anggota polis berkenaan kemudiannya telah memperkenalkan diri dan meminta dokumen pengenalan kedua-dua lelaki itu untuk diperiksa.

"Mereka bukan sahaja enggan malah bertindak untuk mencederakan anggota polis berkenaan sehingga berlaku pergelutan. Salah seorang suspek juga telah mengeluarkan senjata iaitu sebilah pisau dari pinggang seluarnya.

"Begitupun kedua-dua suspek itu telah berjaya ditewaskan tidak lama kemudian. Pemeriksaan pada sebuah kotak rokok milik salah seorang daripada mereka kemudiannya telah menemui satu straw mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.