Mangsa, lelaki berusia 31 tahun terjerat dalam sindiket itu selepas tertarik dengan tawaran telefon pintar iPhone7 Plus yang ditawarkan pada harga murah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa telah berkenalan dengan suspek yang menggunakan perkhidmatannya dari sebuah pusat beli belah di Seberang Jaya ke Kampung Gedung di sini.

"Semasa dalam perjalanan menghantar pelanggannya itu, suspek memperkenalkan diri sebagai pekerja di Ibu Pejabat Maxis KLCC sambil menawarkan iPhone7 Plus pada harga sangat murah.

"Mangsa kemudiannya telah menghubngi nombor telefon yang diberikan suspek sebelum diminta membuat pembayaran melalui akaun yang diberikan," katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang teruja dengan tawaran itu telah membayar sebanyak RM3,600 melalui tiga transaksi.

"Mangsa menempah sebanyak lapan buah telefon berkenaan dan menjadi lebih yakin apabila diminta pergi ke cawangan syarikat berhampiran untuk menebus telefonnya.

"Namun dia akhirnya menyedari ditipu selepas suspek berterusan meminta dia memindahkan wang kepada ejen berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis," katanya.

Dalam perkembangan berbeza, Noorzainy berkata, seorang lagi pemandu Grab lelaki kerugian sebanyak RM18,980 selepas dipercayai diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud pada Khamis lalu selepas tertarik dengan tawaran di aplikasi sosial WhatsApp.

"Mangsa berusia 29 tahun bersetuju melabur sebanyak RM500, namun telah terpengaruh sehingga membuat pelaburan sebanyak RM18.980 kerana dijanjikan pulangan lumayan dan segera bersama modal dalam tempoh dua hari.

"Namun, dia sedar ditipu selepas berterusan dihasut untuk menambah nilai  pelaburan dan ejen wanita berkenaan sering memberi alasan selepas ditanya berhubung pulangan pelaburannya," kata Noorzainy.

Beliau berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE