Dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, Nur Nisa Syuhada Mohd. Hanafisah dan Nur Ain Natasshah Muhamad Azlan masing-masing berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Raja Zarina parah di kepala dan patah tulang pinggul. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 dinaiki mereka dalam perjalanan ke Kompleks Sukan Pandamaran dari Rumah Pangsa Bunga Raya. 

Katanya, motosikal itu ditunggangi oleh Nur Nisa tanpa lesen memandu dengan kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar keselamatan. 

"Nur Nisa dikatakan cuba memotong kenderaan lain di hadapan dan tidak sempat untuk masuk semula ke laluannya sebelum bertembung dengan lori dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun. 

"Akibatnya, Nur Nisa parah di kepala dan rakannya patah tulang pinggul," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Jelas beliau, Nur Nisa kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini manakala Nur Ain telah dipindahkan ke wad biasa hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Apj 1987. - K! ONLINE