Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Fakhri Fazim, 18, yang menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik maut di tempat kejadian, manakala penunggang Yamaha 135LC, Faqih Sarian Abdul Malik meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, semasa kejadian kedua-dua motosikal itu dipercayai dalam perjalanan dari Serting Hilir menuju ke Felda Tembangau, Kemayan, Pahang.

"Siasatan awal mendapati kawasan kemalangan gelap tanpa lampu jalan. Motosikal dinaiki mangsa telah bertembung dengan seekor kerbau yang berada di tengah laluan mereka.

"Kemalangan itu menyebabkan penunggang Modenas Dinamik maut di tempat kejadian kerana kecederaan teruk di kepala, manakala penunggang Yamaha 135LC dikejarkan ke Hospital Jempol dan mati semasa menerima rawatan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, siasatan awal polis juga mendapati penunggang Modenas Dinamik yang merupakan pekerja kilang dan beralamat di Felda Tembangau tidak memiliki lesen motosikal.

Kata beliau, penunggang motosikal Yamaha 135LC yang juga pekerja kilang dan beralamat 
di Felda Tembangau memiliki lesen untuk menunggang motosikal.

Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat dan kes itu disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kerbau yang dilanggar motosikal terbabit turut mati di lokasi kejadian," katanya. - K! ONLINE