Katanya, keempat-empat individu yang berumur antara 20 dan 29 tahun itu ditangkap semasa serbuan ke sebuah rumah pangsa di Taman Merbau Indah, Butterworth dekat sini kira-kira pukul 1 tengah hari, yang turut membawa kepada penemuan dua buah kereta dipercayai dicuri.

“Kereta jenis Proton Satria dan Perodua Kelisa ini dipasangkan dengan nombor pendaftaraan palsu dan dipercayai digunakan sebagai kenderaan mereka untuk menjalankan kegiatan jenayah," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pelbagai barangan termasuk komputer riba, televisyen, peralatan elektrik, sejumlah anak kunci dan kad bank yang keseluruhannya bernilai lebih RM50,000 dipercayai hasil curi turut dirampas, selain peralatan disyaki untuk pecah rumah seperti spanar, pemutar skru, tukul besi dan pemotong besi.

Beliau berkata, siasatan mendapati geng itu terlibat dalam puluhan kes samun, curi kenderaan dan pecah rumah, termasuk memecah masuk beberapa taska di sekitar daerah SPU, Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang serta Kulim dan Sungai Petani di Kedah.

Noorzainy berkata, siasatan mendapati ketua geng itu yang merupakan lelaki berusia 29 tahun mempunyai 13 rekod lampau serta dikehendaki polis berkaitan kes pecah rumah di Kubang Semang, dekat sini manakala dua lagi ahli kumpulan tersebut masing-masing mempunyai satu dan dua kes lampau.

Menurutnya, kesemua suspek didapati positif mengambil dadah serta tidak bekerja dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kes berasingan, polis berjaya menahan dua orang lelaki selepas mereka memecah masuk sebuah kedai perkakasan di Bagan Ajam dekat sini kira-kira pukul 5.10 pagi Selasa lepas. Seorang lagi rakan sejenayah mereka bagaimanapun berjaya meloloskan diri.

Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki ini mempunyai pelbagai rekod lampau dan positif mengambil dadah, selain turut terlibat dalam beberapa kes kecurian sarang burung walit yang dilaporkan di sekitar daerah SPU.

"Mereka kini direman selama empat hari dan polis kini giat mengesan suspek ketiga yang dikenali sebagai Mat Cabai berumur lingkungan 30-an yang sempat melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih,” katanya.  - Bernama