Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi tersebut, mangsa Gading Abdullah, 21, dan rakannya, Muhammad Mansur, 31, dikatakan tidak sedarkan diri di atas kapal terbabit sebelum dibawa ke Jeti Kota Kinabalu dekat sini.

Difahamkan, sebelum kejadian anak-anak kapal termasuk mangsa sedang menarik tali pukat tunda.

Secara tiba-tiba, dikatakan Gading telah tersangkut dalam gulungan tali tersebut sebelum Muhammad datang membantu.

Bagaimanapun, lelaki itu juga tersangkut pada gulungan tali yang sama.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra mengesahkan, mengenai kejadian berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati tiada sebarang perbuatan atau unsur jenayah dalam kejadian berkenaan," katanya di sini hari ini.

Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 dekat sini untuk proses bedah siasat.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Dalam pada itu, orang ramai yang mengenali kedua-dua mangsa diminta membantu pihak polis menghubungi keluarga mangsa atau hubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superitendan Mohd. Zulfikar Abd. Salam untuk tindakan lanjut. - K! ONLINE