Kejadian berlaku pukul 2 pagi ketika bot tersebut yang dinaiki seorang tekong warga tempatan dan tiga awak-awak warga Myanmar sedang menangkap ikan sekitar kawasan tersebut. 

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kesemua nelayan itu keluar ke laut pukul 10 malam. 

"Sebaik dilanggar kapal dagang itu, keempat-empat mangsa tercampak ke dalam laut dengan bot tersebut didapati mengalami kebocoran. 

"Dua daripada berjaya diselamatkan rakan nelayan yang lain manakala dua lagi dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau menambah, not nelayan tersebut kemudiannya telah ditunda ke Jeti Pulau Ketam. 

Mohammad Rosli menjelaskan, sebuah aset udara maritim telah dikerah ke lokasi kejadian dan dibantu oleh bot peronda Pasukan Polis Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk pencarian mangsa. 

"Operasi diaktifkan pada jam 9.30 pagi tadi dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Nelayan Sungai Ayer Hitam, Kuala Langat. Pencarian kedua- dua mangsa yang hilang masih diteruskan," katanya. - K! ONLINE