Dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 11.30 pagi itu, kedua-dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 42 tahun itu ditahan ketika sedang memunggah hasil tangkapan ke dalam kereta.

Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata, pihaknya melakukan intipan selepas mendapat aduan daripada orang awam sebelum menahan suspek dan merampas 15 kilogram ikan pelbagai spesis bernilai RM150.

“Kita turut merampas peralatan yang digunakan mereka termasuk dua bateri kereta, tiga alat pengalir elektrik, motor elektrik, penyauk dan tong ikan.

“Ini merupakan kes pertama yang berjaya ditahan Jabatan Perikanan pada tahun ini melibatkan tangkapan ikan secara haram menggunakan peralatan elektrik,” katanya pada sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Tambah Zaki, kedua-dua mereka kini ditahan di Balai Polis Tambun untuk proses lanjut.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 3(2)(iii) Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Negeri Perak 1992 kerana menggunakan barang terlarang seperti letupan, racun dan peralatan elektrik.

“Kita memandang serius kegiatan tersebut dan meminta orang ramai segera melaporkan kepada Jabatan Perikanan di talian 05-255 4061/62,” jelasnya.

Menurutnya, penggunaan peralatan elektrik, racun dan letupan dalam aktiviti menangkap ikan boleh memberi kesan kepada ekosistem terutamanya anak-anak ikan yang mati akibat perbuatan tersebut. - K! ONLINE