Dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 pagi itu, pemandu lelaki kereta jenis Nissan Sentra, G. Vicknesh, 18, dan seorang penumpang wanita, Gan Yong Qi, 21, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

Dua lagi penumpang kereta iaitu lelaki berusia 16 dan 24 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah, manakala pemandu lori tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A. Anbalagan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta itu yang datang dari arah Batu Maung telah melanggar lampu isyarat yang sedang berwarna merah.

"Kereta itu kemudian merempuh sebuah lori yang datang dari arah George Town dan sedang membelok ke arah Jalan Kampung Jawa.

"Akibat kejadian tersebut, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang berusia 16 tahun patah kedua-dua belah kaki dan tangan serta seorang lagi patah kaki," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dekat sini bagi urusan bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE