Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan yang berlaku pada 9.40 pagi tadi pemandu lelaki yang dikenali sebagai Soh Yong Hau, 23, bersama seorang wanita yang masih belum diketahui identitinya itu maut di tempat kejadian.

"Daripada maklumat yang diterima daripada saksi yang berada di tempat kejadian, difahamkan akibat pertembungan itu (dengan lori pasir), kereta yang dipandu mangsa telah terseret ke kiri jalan dan melanggar sebuah bas yang diletakkan di tepi jalan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Lokasi kejadian merupakan jalan  dua hala dengan satu lorong setiap arah serta dipisahkan dengan garisan putih berkembar.

Bagaimanapun, pemandu lori pasir berusia 26 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada penumpang atau pemandu berada dalam bas sekolah berkenaan.

"Pihak polis masih lagi mengesan waris kepada mangsa wanita yang masih belum diketahui identitinya dan bedah siasat kedua-dua mangsa akan dilakukan di Hospital Kulai petang ini," kata beliau.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama