Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, mangsa, Rahim Shafie, 66, meninggal dunia di tempat kejadian. Turut maut ialah seorang pemandu lori penghantaran barang, Zainal Jasman, 28. 

Anak kelima Rahim, Adi Putra, 36, berkata, arwah dan bapa saudaranya, Ghazali Shafie, 65, yang masing-masing menunggang motosikal jenis Honda Dash dan skuter sebelum itu dalam perjalanan ke Johor melalui bandar Ayer Keroh.

"Ayah datang ke rumah saya di Kampung Kundang, Selangor kira-kira pukul 11 malam tadi untuk meminjam motosikal kerana ingin berjalan-jalan bersama pak cik ke Johor. 

"Bagaimanapun pukul 6 lebih tadi pak cik beritahu ayah telah meninggal dunia. Saya tidak menyangka ayah terlibat dalam kemalangan ini kerana malam tadi dia kelihatan sihat dan bersembang seperti biasa," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah di sini tadi. 

Menurut Adi Putra, sepatutnya kedua-dua beradik itu pulang ke rumah masing-masing di Selangor pada Khamis atau Jumaat ini. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri (JSPT), Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku selepas warga emas itu terlanggar satu objek besi di lebuh raya berkenaan menyebabkan dia terjatuh di lorong paling kiri. 

"Mangsa kemudian dilanggar oleh sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti dan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah, manakala motosikalnya dilanggar oleh sebuah Proton Inspira yang gagal mengelak. 

"Sebuah treler dari arah belakang yang menyedari kemalangan itu sempat memberhentikan kenderaannya, namun sebuah lagi kenderaan berat yang datang kemudian tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang treler tersebut. 

"Akibat kemalangan itu, pemandu lori tersebut yang berusia 28 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Hasan berkata, kedua-dua mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE