Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kedua-dua suspek berusia 56 tahun dan 30an itu ditahan semalam di dua lokasi berasingan di Kampar dan Sungai Siput pada pukul 4.30 dan 5.45 petang semalam. 

“Soal siasat terhadap suspek pertama yang merupakan pemilik kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail itu mendapati dia mengaku menyerahkan kenderaannya untuk kegunaan seorang lelaki warga Myanmar yang dikenali sebagai Ah Hong dengan ganjaran RM300.  

“Suspek kedua pula merupakan lelaki warga Myanmar yang bertindak sebagai pengantara kepada Ah Hong dan suspek pertama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini. 

Tambah Omar Bakhtiar, kedua-dua suspek tersebut kini ditahan reman bermula hari ini sehingga 17 Jun depan bagi membantu siasatan. 

Katanya, polis percaya Ah Hong merupakan dalang dalam aktiviti penyeludupan tersebut dan dia merupakan salah seorang daripada dua orang PATI yang melarikan diri selepas kemalangan semalam. 

“Kedua-dua PATI yang melarikan diri selepas kemalangan tersebut semalam kini sedang giat dikesan polis,” katanya. 

Menurutnya, mereka menggunakan modus operandi dengan membawa masuk rakyat Myanmar pelbagai etnik ini melalui sempadan Thailand yang akan dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat. 

“Kita telah menyoal empat daripada pati yang ditahan. Bagaimanapun terdapat sedikit kesukaran bagi jurubahasa memahami percakapan mereka disebabkan dialek yang berlainan.

“Mereka juga tidak memahami bahasa Melayu memandangkan baru pertama kali masuk ke Malaysia,” katanya. 

Katanya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Pengeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. 

Kosmo! hari ini melaporkan, kemalangan maut melibatkan sebuah kenderaan SUV di Kilometer 190.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini kelmarin membongkar kegiatan licik sindiket penyeludupan warga asing ke negara ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, SUV jenis Nissan X-Trail yang dinaiki 16 penumpang termasuk pemandu dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) tersebut dikatakan terbabas menyebabkan tiga lelaki Myanmar maut akibat tercampak ke bawah jambatan setinggi enam meter.

Difahamkan, kesemua PATI termasuk seorang wanita terpaksa berhimpit di dalam kenderaan yang hanya boleh memuatkan seramai tujuh orang.

Mereka dipercayai baru tiba di negara ini untuk dihantar ke satu lokasi lain berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa selain pemandunya turut melarikan diri sejurus selepas kemalangan berlaku. - K! ONLINE