Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, pada kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, ibu mangsa yang hendak mengambil anaknya dari sekolah telah dimaklumkan oleh seorang saksi di tempat kejadian bahawa anaknya telah diapit oleh dua lelaki tidak dikenali.

"Berdasarkan hasil rakaman percakapan saksi, terdapat dua lelaki duduk bersebelahan mangsa iaitu di tengah-tengah dengan jarak antara mereka hanyalah satu jengkal.

"Mangsa mengatakan kedua-dua lelaki yang memakai baju berwarna merah jambu itu cuba menyentuh tangannya tetapi mangsa sempat mengalihkan tangan dan terus berlari ke kawasan sekolah yang terletak berhampiran perhentian bas tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Rosly, susulan kejadian ibu mangsa telah menghubungi talian kecemasan 999 dan pihak polis terus bergegas ke lokasi kejadian dan menahan dua lelaki warga Pakistan tersebutmasing-masing berusia 25 dan 30 tahun.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan cuba melarikan namun berjaya dikejar dan ditahan di perkarangan Surau Al-Najah Presint 9 di sini," katanya.

Mengulas lanjut, Rosly berkata, kes tersebut turut menjadi tular di media sosial apabila komuniti sekitar Putrajaya mendakwa kes berkenaan merupakan kes culik sebaliknya ia merupakan kes cubaan mencabul.

Beliau berkata, Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63. - K! ONLINE