Tertuduh, Tay Leong Hee, 52, dan Tay Thian Chuan, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd. Salim.

Mereka berhadapan dengan pertuduhan mencapai niat bersama menguruskan rumah persundalan di Tingkat 2, Hotel Promenade, No. 4, Lorong Api-Api 3, Api-Api Centre di sini pada pukul 8.44 malam, 23 November lalu.

Bagi pertuduhan tersebut kedua-dua tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 373 (1) (a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding tersebut pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,  Fazril Sani Mohd. Fadzil.

Sementara itu, Thian Chuan pula diwakili peguam, Adrian Cham Chee Kong manakala peguam, Chaw Tin Tang mewakili Leong Hee.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 seorang.

Bagaimanapun, Noor Hafizah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 seorang dengan seorang penjamin tempatan

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah pada setiap bulan.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 10 Januari depan.

Pada 23 November lalu,  menerusi Ops Gegar, pihak JIM Sabah telah menemui wang tunai sebanyak RM14.5 juta di dalam pusat urut di  Hotel Promenade dan di sebuah apartment berdekatan pada pukul 8.45 malam.

Seramai empat individu dipercayai dalang sindiket pelacuran berkenaan turut ditahan bersama 17 wanita warganegara Filipina yang terlibat dalam aktiviti persundalan di pusat urut terbabit. - K! ONLINE