Tertuduh, Toh Tat Foo, 36, dan seorang lagi tertuduh berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang remaja berusia 13 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No. 26, G.V.A Genting, Simpang Empat di sini pukul 4.15 pagi pada 10 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga setahun atau didenda maksimum RM2,000 atau keduanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Pang Meng Tuck manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Lau Jun Yi.

Tat Foo dibenar diikat jamin sebanyak RM1,800, manakala seorang lagi tertuduh dibenar diikat jamin RM1,000 dengan masing-masing seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 22 Ogos ini.

Sementara itu, di hadapan majistret sama, remaja berusia 13 tahun yang merupakan mangsa dalam kejadian itu didakwa melakukan pecah rumah ke atas kedai milik Tat Foo di lokasi, waktu dan hari yang sama.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah pada prosiding secara tertutup itu didakwa melakukan kesalahan mengikut  Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 91 Akta Kanak-kanak 2001.

Bagi kesalahan itu, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.

Pendakwaan bagi kes itu turut dikendalikan Meng Tuck dan tertuduh diwakili peguam Muhammad Noor Azfar Noor Azmi.

Dia dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,000 beserta seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 21 Ogos depan.

Kosmo! Sabtu lalu melaporkan seorang remaja berusia 13 tahun yang menceroboh sebuah kedai runcit di Simpang Empat di sini telah ditangkap oleh pemilik kedai dalam kejadian pada Rabu lalu.

Dalam kejadian itu, remaja terbabit telah disebat menggunakan getah paip dan rotan sehingga badan berbirat oleh dua lelaki. - K! ONLINE