Dalam operasi pada pukul 4.54 petang itu, suspek yang berusia 50 dan 62 tahun gagal mengemukakan permit pembelian diesel yang diisi di dalam dua tong dan sebuah tangki berkapasiti 1,000 liter. 

Pengarah KPDNHEP negeri, Jaiya Abu berkata, pemeriksaan lanjut pada dua buah lori yang dibawa suspek menemui lima lagi tong kosong  berkapasiti 200 liter dipercayai untuk diisi bahan bakar berkenaan. 

"Susulan tangkapan itu, kita merampas sebanyak 388 liter diesel dan dua buah lori terbabit dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM25, 000. 

"Pemeriksaan mendapati lori tersebut didaftarkan di bawah syarikat namun kita masih meneruskan siasatan dan tidak menolak kemungkinan mereka menggunakan lori berkenaan untuk mengaburi jenayah yang dilakukan, " katanya pada sidang akhbar di Krubong di sini semalam. 

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama perkara 3, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 gang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM15, 000 atau kedua-duanya serta denda tidak melebihi RM25, 000 bagi perbadanan atau syarikat. 

Mengulas lanjut, Jaiya memberitahu, sebanyak 11 kes dicatatkan melibatkan pelbagai jenis barang kawalan seperti diesel, tong gas petroleum cecair , gula dan minyak masak di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM74, 725. - K! ONLINE