Kedua-dua suspek berusia 24 dan 27 tahun itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut kira-kira pukul 12.20 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, sepasukan polis yang membuat rondaan cegah jenayah ternampak dua lelaki duduk di atas motosikal jenis Demak Evo Z dengan hanya diterangi lampu jalan.

"Hasil pemeriksaan menemui beg kecil mengandungi satu peket plastik lutsinar berisi ketulan jernih disyaki syabu seberat kira-kira 1.3 gram di dalam poket seluar penunggang motosikal tersebut.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui satu lagi beg di dalam bakul motosikal mengandungi empat peket plastik lutsinar berisi ketulan putih disyaki heroin dianggarkan seberat 97.7 gram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, dadah syabu dan heroin yang dirampas bernilai kira-kira RM3,070.

"Kedua-dua suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Tambahnya, hasil ujian air kencing mendapati dua suspek terbabit positif dadah jenis morfin dan masing-masing mempunyai empat rekod jenayah lampu termasuk berkaitan dadah. - K! ONLINE