Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu serbuan dilakukan, kedua-dua suspek terbabit cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan sebelum diberkas kira-kira pukul 12.45 tengah malam.

Menurutnya, akibat pergelutan tersebut, seorang suspek mengalami luka di beberapa bahagian badan sebelum pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg kecil di tangan lelaki terbabit. 

“Hasil serbuan itu, kita merampas lapan botol plastik disyaki mengandungi dadah jenis heroin, 840 biji pil dipercayai pil kuda, satu paket daun kering disyaki dadah jenis ganja serta wang tunai RM200. 

“Berdasarkan soal siasat yang dijalankan, kita syaki kedua-dua suspek berusia 30 dan 27 tahun itu bergerak aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah sekitar dua hingga tiga bulan lalu di sekitar kawasan Ajil di sini ,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu hari ini. - K! ONLINE